Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Setelah kewafatan Nabi S.A.A.W, umat Islam berbeza pendapat berhubung dengan isu kekhilafahan. Sebahagian kelompok dengan merujuk kepada peristiwa Ghadir Khums, himpunan beberapa hadis dan ayat al-Quran menerima Imam Ali a.s sebagai pengganti Nabi Akram S.A.A.W. Sementara itu, sebahagian yang lain pula menganggap isu pemilihan pengganti Rasul S.A.A.W bukanlah sesuatu yang telah ditetapkan oleh baginda sendiri, maka mereka dengan ikhtiar sendiri memilih Abu Bakar sebagai pengganti Nabi S.A.A.W dalam menggalas tugas-tugas pemerintahan umat. Mereka seperti kumpulan pertama turut menggunakan ayat al-Quran sebagai rujukan untuk mempertahankan pandangan khusus ini.
Umat Islam yang mengambil kedudukan fikrah dan amali yang pertama dikenali sebagai penganut ajaran Syiah sedangkan kelompok yang kedua pula dikenali sebagai penganut mazhab Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Natijah daripada isu kekhilafahan atau imamah (yang mana kedua-dua lafaz ini merujuk kepada makna yang sama), umat Islam terbahagi kepada dua kelompok yang mana setiap kelompok itu pada gilirannya memiliki kelompok-kelompok yang lebih kecil.
Adapaun di dalam artikel ini, kelompok yang dinamakan Syiah merujuk kepada penganut ajaran Syiah Imamiyah dan kelompok Ahlus Sunnah Wal Jamaah pula merujuk kepada mereka yang memilih pandangan Abul Hasan al-Asy'ari sebagai ideologi dominan di dalam maktab usuluddin mereka. Di sebalik hakikat ini, tulisan ini sekadar mempersembahkan perbahasan umum berkaitan konsep Imamah kepada para pembaca sekaligus memungkinkan penganut sekte-sekte lain untuk turut mengambil manfaat daripadanya.
Makna Imam
Adapaun sebelum pergi lebih jauh dalam menghuraikan peri pentingnya perbahasan konsep Imamah di dunia mutakhir, tidak salah jika kita melakukan sedikit kajian ke atas makna kata Imamah dari segi bahasa dan istilah ilmiahnya di dalam ilmu kalam. Ini kerana penetapan takrif subjek pada awal peringkat awal perbahasan mampu mengelakkan sebarang bentuk salah faham yang timbul akibat lafaz kata.
Kata Imam itu itu berakar daripada kata akar alif-mim-mim (dilafazkan umm) yang membawa makna sesuatu yang diikuti tanpa mengira sama ada objek itu adalah manusia, benda tidak bernyawa ataupun haiwan. Perkara ini boleh dirujuk kepada kitab Mufradat milik Ragib Isfahani di yang merupakan salah seorang pahlawan di dalam ilmu kesusasteraan Arab.
Ini kerana, manusia terkadang mengikut manusia yang lain dalam mencapai tujuannya seperti Bani Israil yang memanuti Nabi Musa a.s ketika ingin melepaskan diri daripada kezaliman Firaun. Terkadang, manusia juga mengikuti objek tidak bernyawa seperti bintang ketika hendak mencari arah pada malam hari yang langitnya tidak dilindungi awan. Begitu juga, pada waktu tertentu, anak Adam terkadang terpaksa mengikuti unta yang telah dibebaskan daripada tali kendalanya ketika sesat di padang pasir dengan harapan unta itu akan membawanya ke punca air atau bahkan penempatan manusia yang lain. Semua makna ini serasi dengan makna bahasa kata Imam itu tadi.
Dengan sekadar melihat makna bahasa kata imam itu sendiri -tanpa melihat aspek atau sifat yang lain yang mungkin menyertainya-, kosa kata ini tidak membawa makna yang positif mahupun negatif. Oleh kerana itu, ayat suci al-Quran ketika mengguna pakai kosa kata Imam berkata "(Ingatlah) hari Kami menyeru tiap-tiap kumpulan dengan nama imamnya" Quran; 17:71. Jadi mereka yang menaati Firaun zamannya akan dibangkitkan bersamanya dan siapa yang memanuti Imam zamannya akan dibangkitan bersama beliau di hari tersebut.
Adapun dari segi istilah, kosa kata Imamah -yang memiliki akar yang sama dengan kosa kata Imam- di dalam ilmu kalam merujuk kepada makam pentadbiran agamawi yang bersifat umum dalam usaha memupuk warga awam untuk memelihara maslahat agama dan duniawi mereka. Dalam masa yang sama, makam ini bertanggungjawab untuk menjauhkan sebarang perkara yang akan membahayakan maslahat itu tadi.
Jadi, jikalau rumusan pendek mahu diambil dari konsep Imam atau Khalifah umat Islam, kita boleh katakan figur ini adalah panutan umat Islam di dalam urusan dunia dan akhirat selepas kewafatan Nabi S.A.A.W. Inilah makna ringkas yang akan kita gunakan ketika merujuk kepada kata Imam di dalam pembahasan lanjut.
Kritikan Terhadap Usaha Membahaskan Perbahasan Imamah
1) Perbahasan Imamah Sekadar Hanya Memiliki Nilai Sejarah Semata-Mata
Di sebalik apa yang telah diuraikan setakat ini, sesetengah pihak memandang bahawa sebarang bentuk perbahasan yang berputar di sekitar konsep Imamah atau Imam di zaman ini sebagai sesuatu yang tidak membawa sebarang manfaat dan terkadang mendatangkan kerugian yang besar kepada umat Islam itu sendiri.
Antara hujah yang dibawakan oleh mereka ialah perbahasan ini adalah sebuah perbahasan sejarah yang mana nilainya tidak sebesar membahaskan isu-isu dinihari yang lebih memerlukan penyelesaian dalam rangka memastikan roda kehidupan umat Islam pada hari dapat terus berkitar. Lebih teruk lagi, kita tidak memiliki tenaga, masa dan modal yang mencukupi untuk menangani kesemua isu yang berbangkit. Oleh kerana itu, perbahasan sejarah harus diketepikan buat sementara waktu.
2) Perbahasan Imamah Menggugat Perpaduan Umat Islam
Sebahagian pula mengatakan bahawa perbahasan Imamah mampu meretakkan perpaduan umat Islam sedangkan perkara ini sangat ditagih pada zaman di mana pemikiran jumud mula menguasai ruang minda umat Islam secara keseluruhan. Kejumudan yang bahan bakarnya adalah perpaduan umat dan perbahasan sensitif pula umpama bahan bakar kepada api yang sudah sedia marak itu tadi. Dalam erti kata lain, perpaduan umat Islam itu sangat penting dan perkara ini memerlukan korban. Antara korbannya adalah perbahasan sensistif seperti perbahasan kita sekarang yang mungkin sahaja akan membakar api perseteruan di kalangan umat Islam.
Jawapan Terhadap Kritikan
Muqaddimah: Faktor Perpecahan Dan Perseteruan
Tidak syak lagi bahawa perpaduan itu sangat penting. Akan tetapi, kita sepatutnya menanyakan diri kita semula berkenaan faktor-faktor yang menyumbang kepada perpecahan. Antara faktor yang dikenalpasti adalah ketiadaan makrifat di kalangan umat Islam yang menganut sesebuah mazhab terhadap penganut mazhab lain.
Sejarah juga menyaksikan bahawa ketiadaan makrifat atau kejahilan ini menjadi salah satu modal terbesar bagi kuasa imperialis untuk memecah belahkan umat Islam. Mereka dengan menggunakan kejahilan umat Islam terhadap saudara seagama mereka sendiri, mula mengisi ruang gelap itu dengan fitnah dan informasi yang salah dalam rangka mencapai tujuan akhir mereka seperti mengeksploitasi sumber bumi dunia Islam yang kaya.
Tidak syak lagi bahawa informasi yang membawa kepada perpecahan umat Islam sememangnya senjata ampuh kuasa besar ketika memulakan fitnah epik mereka di Syria dinihari. Syiah dituduh begini dan begitu di sebalik hakikat bahawa sebelum konflik berdarah di negara Arab itu bermula, isu mazhab dan agama tidak pernah menjadi duri dalam daging bagi warga Syria dalam rangka membina kehidupan sepunya yang harmoni.
Kita juga tidak boleh lupa bahawa Islam juga memiliki musuh dalam selimut yang akan menggunakan kejahilan ini untuk menyebarkan maklumat salah berhubung sesebuah mazhab sebelum mengkafirkan mereka. Selepas dikafirkan, harta, keluarga dan nyawa mereka akan menjadi halal untuk dirampas atas nama agama Islam itu sendiri. Iya, agama rahmat yang dibawakan Nabi S.A.A.W untuk menamatkan kezaliman di muka bumi ini kini dipergunakan untuk membawa kezaliman yang telah DIHALALKAN!
Inilah yang berlaku di dunia Islam sekarang dan "kerja kotor" ini sering kali meninggalkan bekasnya yang akan membawa kita kepada pergerakan Salafi Wahhabi. Sebuah gerakan yang menjadi inspirasi kumpulan pengganas Takfiri Daesh yang memenggal kepala insan yang tidak berdosa hanya kerana mereka percaya kepada usul agama yang berbeza dengan penafsiran zahiri kumpulan itu terhadap Quran dan Sunnah. Islam, sebuah agama yang begitu menghormati nyawa benda-benda hidup termasuk tumbuh-tumbuhan sekalipun kini menjadi syiar dan alat bagi memenggal kepala saudara Islam yang lain.
1) Ilmu Modal Perpaduan
Daripada huraian di atas, dapat kita rumuskan bahawa perpecahan itu berbenih daripada kejahilan dan sikap taksub berlebihan yang kemudiannya digunakan oleh musuh Islam dalam rangka melemahkan umat dan bangsa Islam sebelum memerah sumber bumi dan potensi lain mereka. Di sinilah perbahasan berhubung isu-isu yang membezakan antara satu mazhab dengan mazhab yang lain menjadi penting untuk kita kemukakan kepada umat Islam. Ini kerana, dengan perbahasan seperti ini, umat Islam akan lebih mengenali saudara mereka yang lain dan makrifat seperti itu boleh dijadikan platform yang baik untuk menjalinkan ukhwah di antara mereka.
Dalam masa yang sama, sikap ta'assub juga hari digantikan dengan rasa insaf khususnya dalam kajian ilmu. Sekalipun kita tidak mampu menerima hujah pihak lain, kita seharusnya mengajar diri kita untuk menghormati pandangan pihak yang lain. Kita kena belajar untuk bersetuju untuk tidak bersetuju. Sekurang-kurangnya jika kita percaya bahawa mereka itu sesat, kita harus maklum bahawa hidayah itu milik Allah. Selain daripada itu, al-Quran itu sendiri mengajarkan kita bahawa kepercayaan agama bukanlah sesuatu yang boleh dipaksakan.
2) Perbahasan Imamah Memiliki Pelbagai Perspektif Selain Perspektif Sejarah.
Di sebalik hakikat bahawa perbahasan sejarah itu sendiri memiliki nilai yang tersendiri, bagi mereka yang masih menolak untuk melanjutkan perbahasan ini di dalam acuan sejarah, kita harus mengingatkan mereka bahawa perbahasan ini bersifat multispektrum dan setiap spektrum memiliki nilainya yang harus dipertimbangkan sebelum diketepikan dari medan dialog dan diskusi.
Antara perspektif yang tidak boleh dipandang sebelah mata ialah aspek ilmiah perbahasan itu sendiri. Konsep Imamah atau Khilafah dikemukakan di dalam dunia Islam akibat daripada pelbagai faktor. Antara faktor tersebut ialah kerana keperluan umat itu sendiri. Ini kerana, selepas kewafatan Nabi S.A.A.W, umat Islam masih memerlukan pusat rujukan di dalam urusan duniawi dan ukhrawi mereka dan keperluan ini semakin hari semakin parah dan kerana itulah di pejabat para ulama, masih tersisa begitu banyak pertanyaan yang masih belum terjawab.
Berasaskan keperluan manusia inilah, kesemua pihak sama ada Sunni atau Syiah sepakat bahawa Allah S.W.T mahu makam Imamah itu terbentuk khususnya selepas kewafatan Nabi S.A.A.W. Sepastinya antara Syiah dan Ahlus Sunnah Wal Jamaah memiliki pandangan berbeza tentang cabang dan ranting daripada konsep ini. Akan tetapi, kedua-dua pihak berkongsi pendapat yang sama bahawa konsep Imamah itu adalah sebahagian daripada agama yang diturunkan oleh Allah S.W.T kepada Nabi Muhammad S.A.A.W. Bagi mazhab Syiah, penetapan makam Imamah itu sesuatu yang wajib bagi Allah berasaskan sumber mereka sedangkan Ahlus Sunnah Wal Jamaah pula menganggap perkara itu merupakan sebuah kewajiban syar'i bagi umat untuk menentukan Imam atau Khalifah mereka.
Dikeranakan konsep ini dapat membekalkan solusi kepada keperluan ilmiah yang kritikal buat umat Islam, maka mahu atau tidak perbahasan ini perlu dikemukakan secara telus sebelum mereka mampu mengambil posisi yang tepat dalam menangani permasalahan umat.
Kesimpulan
Di sebalik kenyataan bahawa topik Imamah merupakan salah sebuah topik yang dianggap sensitif oleh sebahagian pihak, konsep ini memerlukan pentas untuk dibahaskan di dalam suasana ilmiah yang bebas daripada unsur ketaksuban. Ini kerana perbahasan topik ini mampu mengoyakkan hijab kejahilan yang wujud di kalangan umat Islam berhubung kepercayaan saudara mereka sendiri yang memanuti mazhab yang lain sekaligus menutup ruang bagi musuh-musuh Islam daripada mengeksploitasi kejahilan dan ketaksuban yang wujud dalam memecahkan perpaduan umat Islam.
Sepertimana yang telah dibahaskan, makrifat terhadap saudara Islam yang menganut mazhab berbeza juga mampu mendekatkan saf-saf mereka di bawah panji umat Nabi Muhammad S.A.A.W. Bak kata pepatah Melayu; tidak kenal maka tidak cinta. Ini kerana, mengenal huwiyat antara satu sama lain akan memudahkan kita untuk mengurusi kehidupan bersama dengan mengamalkan ajaran masing-masing tanpa membangkitkan sensitiviti penganut sekte-sekte lain.
Akhir sekali, salah satu punca mengapa kita membahaskan konsep Imamah atau Khalifah adalah kerana keperluan kita sendiri terhadap pusat rujukan umat Islam di dalam urusan duniawi dan ukhrawi mereka. Perkara ini merupakan fakta yang tidak boleh dielakkan memandangkan masalah yang timbul akibat daripada ketiadaan makam ini adalah sesuatu yang hakiki dan bukan sekadar teori semata-mata. Perbahasan ke atas konsep ini mungkin sahaja akan membawa kita kepada sebuah natijah yang akan menghasilkan kesan positif di dalam menangani permasalah yang berbangkit.
12 Oktober 2018 - 08:11
News ID: 912479

Setelah kewafatan Nabi S.A.A.W, umat Islam berbeza pendapat berhubung dengan isu kekhilafahan. Sebahagian kelompok dengan merujuk kepada peristiwa Ghadir Khums, himpunan beberapa hadis dan ayat al-Quran menerima Imam Ali a.s sebagai pengganti Nabi Akram S.A.A.W. Sementara itu, sebahagian yang lain pula menganggap isu pemilihan pengganti Rasul S.A.A.W bukanlah sesuatu yang telah ditetapkan oleh baginda sendiri, maka mereka dengan ikhtiar sendiri memilih Abu Bakar sebagai pengganti Nabi S.A.A.W dalam menggalas tugas-tugas pemerintahan umat. Mereka seperti kumpulan pertama turut menggunakan ayat al-Quran sebagai rujukan untuk mempertahankan pandangan khusus ini.